Ini ekoran janji Mohamad kira-kira tiga bulan lalu untuk tidak menganugerahkan lagi pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) kepada ahli politik dan selebriti.

Namun, semalam Mohamad telah menyempurnakan pemakaian pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) Askar Wataniah kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

“Tiga bulan je, janji sendiri dah dicapatikan. Menteri Besar PH Selangor dan Ketua Menteri PH Melaka diberi pangkat kehormatan Brigadier Jeneral oleh Mat Sabu sendiri.nya

“Kalau suka mereka pun, sekadar belanja makan kari kepala ikan cukuplah. Ni siap bagi pangkat,” kata Najib di Twitter.

Pada April lalu, Mohamad dilapor berkata akan menghentikan amalan pemberian pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera kepada ahli politik dan selebriti.

Langkah itu katanya, mendapat sokongan Raja-raja Melayu yang menjadi penaung kepada pelbagai cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semalam, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan mengumumkan pemberian pangkat Brigadier Jeneral kepada Amirudin dibuat atas kapasiti beliau selaku penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) bagi Selangor; manakala Adly pula selaku penaung Jakpaw bagi negeri Melaka.

Menurut kenyataan itu, penaung Jakpaw di setiap negeri adalah menteri besar atau ketua menteri yang dilantik menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat).

Perjawatan pengerusi Jakpaw dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri. Pelantikan pengerusi Jakpaw dibuat oleh menteri besar/ ketua menteri/menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kolonel (Kehormat).

“Kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972,” demikian menurut kenyataan akhbar itu.

Pelantikan Amirudin dan Adly sebagai Penaung Jakpaw di peringkat negeri berkuatkuasa pada 24 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE