3,418 rumah di Kedah belum terjual

Spread the love

ALOR SETAR: Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan sebanyak 3,418 unit rumah pelbagai jenis di Kedah masih belum terjual dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew, berkata bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah terdapat 1,735 unit belum terjual, bagi harga antara RM300,000 hingga RM500,000 (1,533 unit) dan bagi harga antara RM500,000 hingga RM1 juta (150 unit).

Katanya, kebanyakan lokasi unit rumah yang tidak terjual terletak di Sungai Petani sebanyak 2,947 unit, Baling (253), Kulim (82), Alor Setar (74), Kubang Pasu (45) dan Bandar Baharu (17).

“Mengikut Dasar Perumahan Negara terkini, lingkungan harga kurang daripada RM500,000 dikategorikan rumah mampu milik dan untuk negeri ini, harga kurang daripada RM300,000 dikategorikan rumah mampu milik.

“Tidak timbul persoalan untuk menjual rumah yang dikatakan ‘mewah’ ini kepada warga asing kerana Kedah bukan pilihan utama pelabur warga asing, selain unit yang tidak terjual pun tidak banyak,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Yusoff Zakaria (PAS-Kuala Nerang) berhubung jumlah, lokasi dan kuantiti rumah mewah yang siap dibina namun belum dijual.

Kok Yew berkata, masalah utama rumah berkenaan tidak terjual adalah kegagalan dan kelayakan pemohon mendapatkan pinjaman bank.

“Justeru, di bawah Dasar Perumahan Negara baharu, skim sewa untuk beli (rent to own) diperkenalkan bagi membolehkan pemohon membeli rumah yang diingini.

“Rekod pembayaran rumah sewa boleh dijadikan bukti untuk bagi membolehkan pemohon mendapatkan pinjaman. Ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan rakyat mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azam Samat (PAS-Sungai Limau) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan melakukan kajian berhubung harga rumah yang tinggi.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/10/620066/3418-rumah-di-kedah-belum-terjual?fbclid=IwAR3Ghw-IB2Qt8hAfq2F6rFSihZVpKy78uq9lRGG4i1iZ0OeepZavYcm_l8s

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *